salindah dalam edaran

salindah & examo memang berkesan

Pasangan Britain hadapi krisis subur April 3, 2008

Filed under: kesuburan — edaransalindah @ 3:04 am

 firstivf.jpg

BAYI tabung uji lelaki dan perempuan pertama dunia dari Britain, Louise Brown (kiri) dan Alistair MacDonald.
Semakin ramai mendapatkan anak menerusi IVF yang mungkin menyebabkan gen tidak subur diwarisi zuriat mereka

BRITAIN kini berdepan krisis kesuburan akibat keghairahan pasangan “separa-subur” mendapatkan anak menerusi teknologi IVF (rawatan kesuburan in vitro).

Pakar memberi amaran, pasangan ini mungkin mendapat anak menerusi kaedah berkenaan tetapi zuriat mereka itu tetap tidak subur kerana membawa gen ibu-bapa mereka. Perkembangan itu, menurut pakar, mengembangkan lagi golongan yang membawa gen tidak subur dalam populasi negara.

Masalah ini dijangka semakin meruncing pada masa depan berikutan di sesetengah negara kaya sekarang, lebih satu daripada setiap 20 bayi yang dilahirkan adalah hasil persenyawaan dalam makmal.

Dua profesor yang menulis dalam Jurnal Perubatan Britain, berkata selain daripada impak IVF, pencemaran alam sekitar dengan bahan kimia pelentur-jantina juga menyumbang kepada peningkatan masalah kesuburan di Barat.

Profesor Jens Bonde, dari Aarhus University Hospital di Denmark, dan Profesor Jorn Olsen dari University of California berkata bilangan sperma – dan kadar kelahiran – kini semakin menurun di negara maju.

Masalah ketidaksuburan kini menjejaskan kira-kira 15 peratus pasangan.

Separa-kesuburan adalah istilah yang diberi kepada pasangan dengan tahap kesuburan lebih rendah daripada biasa tetapi masih boleh mendapatkan zuriat secara semula jadi.

Pasangan tidak subur, bagaimanapun, tidak boleh mendapatkan anak tanpa bantuan perubatan.

Penyelidik berkenaan yang menulis dalam ruangan pengarang majalah itu berkata: “Masih tidak jelas sama ada sedekad lalu memperlihatkan perubahan ketara dalam kesuburan pasangan secara umum atau kesuburan lelaki secara khusus.”

Faktor sosial seperti wanita memilih untuk lewat mendapatkan anak kerana kerjaya dan keinginan memiliki keluarga kecil dianggap faktor penyumbang yang penting tetapi faktor lain seperti perubahan biologi secara halus di kalangan masyarakat perlu juga diteliti.

Secara khususnya, IVF dan teknik lain membawa makna lebih ramai pasangan separa-subur yang gagal memperoleh zuriat satu generasi lalu, kini berpeluang mempunyai anak.

Kemajuan teknologi juga membolehkan lelaki yang memiliki jumlah sperma yang rendah atau sperma tidak berkualiti dirawat.

Berikutan kemajuan ini, wanita yang mempunyai kesuburan biasa tetapi pasangan lelaki yang mengalami masalah sperma – juga mempunyai peluang menimang anak.

Namun hasil kejayaan IVF ini, juga memperkembangkan gen cacat pasangan lelaki itu yang akan dibawa oleh anak mereka dan zuriat seterusnya.

Profesor terbabit juga menggesa lebih banyak penyelidikan dijalankan terhadap isu ketidaksuburan lain yang terabai seperti teori bahawa bahan kimia yang dijumpai di persekitaran boleh mengubah hormon.

Pendedahan tahap tinggi terhadap kimia berkenaan sudah dikaitkan dengan ketidaknormalan kepada sistem reproduktif dan penurunan jumlah populasi di dalam beberapa spesies burung, ikan, reptilia dan amfibia.

Dibimbangi jika wanita mengandung terdedah kepada bahan kimia itu, ia akan memberi kesan terhadap keupayaan anak lelaki mereka menghasilkan sperma kerana keupayaan lelaki menghasilkan sperma dikenal pasti ditentukan ketika masih berada dalam rahim lagi.

Lebih 32,000 wanita menerima rawatan kesuburan di United Kingdom pada 2005, tahun terakhir angka itu diperoleh.

Dianggarkan kira-kira 30 peratus lelaki yang mempunyai pasangan, mendapatkan rawatan kerana didapati separa-subur dan dua peratus lagi tidak subur sepenuhnya.

Dr Richard Kennedy dari Persatuan Kesuburan Britain berkata, terdapat “perselisihan pendapat” berhubung isu sama ada masalah kesuburan genetik semakin meningkat.

Beliau berkata: “Terdapat bukti kukuh bahawa ketidaksuburan teruk di kalangan lelaki berpunca daripada masalah genetik tetapi ia kini boleh dirawat, iaitu satu perkara yang bagus untuk lelaki berkenaan.

“Namun masih tidak jelas sama ada ketidaksuburan di kalangan wanita juga adalah berpunca daripada masalah genetik. Dalam lain perkataan, apakah anak mereka juga akan mewarisi masalah ibu mereka ini?

“Di mana sesuai, mereka yang mendapatkan rawatan ketidaksuburan sudah dinasihatkan mengenai risiko bahawa anak mereka mungkin mempunyai masalah sama.

Susan Seenan, daripada Rangkaian Ketidaksuburan UK berkata; “Ketidaksuburan adalah penyakit yang amat menyedihkan.

“Sebarang kajian yang membantu untuk memastikan pasangan tidak berdepan masalah kesukaran hamil hendaklah diberi galakan sepenuhnya.” – Agensi

FAKTA
IVF

# Persenyawaan luar rahim membabitkan prosedur telur dan sperma disatukan dalam makmal sebelum dipindah menerusi pangkal rahim wanita.

# Dianggarkan 6,000 bayi dilahirkan setiap tahun di Britain menerusi IVF.

# Membabitkan beberapa teknik tetapi proses utamanya membabitkan wanita mengambil ubat-ubatan kesuburan untuk penghasilan lebih banyak telur.

# Masalah kesuburan di Britain membabitkan hampir 15 peratus pasangan.

# Penggunaan ubat-ubatan dikaitkan dengan risiko barah ovari.

# Di Britain, kos IVF di hospital swasta bermula dari kira-kira RM13,000.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s