salindah dalam edaran

salindah & examo memang berkesan

Anak dua fasa April 3, 2008

Filed under: cahayamata — edaransalindah @ 3:08 am

Dikurniakan zuriat pada usia 20-an dan 40-an

mainpix.jpg
Yong Hanizam bersama suami dan dua anak, Danisha dan Damia.

MENIMANG cahaya mata pada usia awal 20-an dan kemudian ketika menginjak 40-an bukan saja memberikan dua pengalaman yang berbeza, tetapi turut mempunyai cerita tersendiri serta beberapa perkara menarik dilalui.

Catatan kehidupan itulah dialami pasangan suami isteri, Meor Shaharudin Meor Adnan dan Yong Hanizam Mohd Rosun apabila dikurniakan dua cahaya mata pada peringkat dua fasa usia berbeza dan lahir pada jarak terlalu jauh.

Anak sulung, Fatin Damia di lahirkan ketika Meor Shaharudin dan Yong Hanizam berusia 20-an dan kini sudah pun meningkat dewasa, 17, manakala anak bongsu mereka; Fatin Danisha pula baru saja berusia enam bulan serta disambut kelahirannya ketika pasangan berkenaan sudah pun mencecah 40-an.

Biarpun melewati usia 40-an bagi Yong Hanizam, tidak perlu malu sebaliknya menganggap itulah kebesaran Allah dan sentiasa menganggap anak adalah rezeki serta amanah yang diberikan-Nya. Justeru, sebagai ibu bapa setiap kelahiran anak dalam keluarga sudah semesti disambut dengan penuh kesyukuran.

Bagaimanapun, Yong Hanizam mengakui, bergelar ibu pada kali pertama dan menyambut kelahiran bayi ketika berusia 20-an dan 40-an sedikit sebanyak ada perbezaan, sama ada dari segi menyediakan persiapan dan kelengkapan, pengetahuan menjaga bayi, keadaan kesihatan serta emosi.

“Sebagai wanita dan ibu, tentu saya berasa gembira apabila disahkan pertama kali mengandung. Apatah lagi, ketika itu saya dan suami masih muda dan memang sudah lama menunggu. Maklum, selepas tiga tahun berkahwin belum ada lagi tanda-tanda kami bakal menerima cahaya mata walaupun pelbagai usaha dicuba, termasuklah cara tradisional mengambil ubat dan berurut.

“Begitu jugalah apabila disahkan mengandung ketika sudah berusia 42 tahun. Perasaan gembira tetap ada. Lagipun, sebelum ini kami tidak pernah merancang mengenai jarak kehamilan dan memang teringin untuk mendapat anak lagi. Tetapi tidak sangka pula kali ini saya hamil ketika sudah memasuki usia itu. Jadi, selain berasa gembira perasaan terkejut pun ada,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Puchong Intan, baru-baru ini.

Yong Hanizam berkata, kehadiran Fatin Danisha menyebabkan segala-galanya perlu bermula dari awal semula, malah dirasakan bagaikan ibu baru dan pertama kali menyambut kelahiran anak sulung. Ini termasuklah, menyediakan persiapan dan kelengkapan bagi menyambut kelahiran bayi serta terpaksa menyesuaikan diri dengan rutin tidur yang terganggu kerana terjaga atau perlu bangun lewat pagi, sama ada untuk membuat susu mahupun melayan bayi menangis minta ditukarkan lampin.

“Selalunya apabila menyambut anak kedua, kurang sedikit beli barang bayi, tetapi bagi kami boleh dikatakan, semua barang perlu dibeli yang baru. Selepas berbelas tahun tidak ada anak kecil tentulah kami tidak simpan semua barang itu.

“Itulah untungnya Fatin Danisha, sebagai adik dia tidak memakai sisa barang kakaknya seperti mana lazimnya, hubungan adik beradik lain. Bagaimanapun, kebanyakan keperluan dan kelengkapan barangan bayi dibeli selepas Fatin Danisha dilahirkan berbanding ketika menyambut anak sulung awal-awal lagi semua barang sudah disiapkan,” katanya.

Yong Hanizam berkata, sebelum kehadiran Fatin Danisha, dirinya pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali. Keguguran pertama berlaku selepas empat tahun melahirkan Fatin Damia, manakala yang kedua lebih kurang setahun sebelum kelahiran Fatin Danisha. Desakan hati untuk mendapat anak kedua menyebabkan dirinya berikhtiar membuat rawatan kesuburan.

Sehinggalah usianya mencapai 35 tahun barulah berhenti berbuat demikian kerana menyedari faktor usia yang semakin meningkat akan mengundang risiko ketika hamil mahupun bersalin, bukan saja pada kesihatan dirinya, tetapi juga bayi yang dikandung.

“Walaupun ada pengalaman melahirkan anak dan keguguran, saya tidak tahu pun yang diri saya mengandung. Memang saya sedar kedatangan haid sudah lewat dua bulan, tetapi tidak sangka pula ada ‘isi’.

“Selain itu, pada awal kehamilan anak bongsu saya tiada mengalami tanda-tanda pembawaan budak seperti muntah dan sebagainya. Berbanding mengandungkan anak sulung dulu, saya bukan saja mengalami muntah dan loya, bau asap rokok pun langsung tidak tahan. Jadi mana nak perasan hamil,” katanya.

Yong Hanizam berkata, seiring dengan usia yang sudah meningkat, pemeriksaan ketika kehamilan anak bongsu dibuat lebih teliti. Alhamdulillah, sepanjang mengandungkan Fatin Danisha beliau langsung tidak mempunyai masalah kesihatan.

Pun begitu, pada peringkat awal kehamilan beliau mengalami pendarahan sehingga terpaksa beberapa kali dikejarkan ke rawatan kecemasan. Pengalaman keguguran dua kali sedikit sebanyak merisaukannya dan jika boleh beliau tidak mahu menempuhi lagi rasa kecewa.

“Jika anak sulung dilahirkan secara normal, anak bongsu saya pula dilahirkan melalui pembedahan kerana hasil pemeriksaan didapati, kedudukan bayi dikesan melintang. Apa pun, kami sekeluarga bersyukur, apabila semuanya berjalan lancar. Namun, pertama kali memegang Fatin Danisha saya begitu kekok sekali seolah-olah itulah bayi pertama saya.

“Sudah lama tidak jaga bayi, mula-mula sukar juga tetapi nasib baiklah anak sulung kami banyak membantu. Dulu, masa menyambut anak sulung emak yang banyak bantu. Apabila ada masalah saja rujuk pada orang tua. Kini sudah masuk anak kedua dan usia pun melebihi 40 tahun, takkan nak harapkan ibu. Nasib baiklah saya dan suami gilir-gilir jaga malam, jika tidak susah juga sebab saya pun bekerja.

“Dalam hal ini, kami sebenarnya sudah pun bersedia berdepan dengan tanggungjawab yang semakin bertambah dan segala perubahan dalam keluarga yang akan dialami kerana sebelum Fatin Danisha dilahirkan perkara ini sudah pun kami bincang sama-sama,” katanya.

Timang cahaya mata pada usia lewat satu kelebihan

“APA yang kau makan ye?” Itulah pertanyaan dan gurauan rakan, Meor Shaharudin Meor Adnan apabila mendapat tahu dia menimang cahaya mata yang kedua pada usia mencecah 40-an. Namun, semua gurauan itu tidak pernah menyinggung perasaannya.

Meor Shaharudin mengakui, di tempat kerja tiada rakan seusia yang menimang lagi anak kecil sepertinya sebaliknya, pada peringkat itu masing-masing sibuk membesarkan anak remaja.

Baginya, itulah kebanggaan dan kelebihan dimiliki kerana melangkah fasa 40-an, dirinya bukan saja memiliki anak remaja yang memerlukan lebih perhatian, tetapi juga seorang lagi anak, masih pada peringkat bayi serta memerlukan penjagaan baik di samping belaian manjanya.

Sebagai bapa dan ketua keluarga, itulah cabaran dan tanggungjawab baru yang harus dihadapi. Menjaga anak yang masih kecil ketika usia semakin menginjak katanya, bukanlah mudah tambahan dengan tenaga fizikal dimiliki tidak lagi segagah pada usia 20-an.

Katanya, jika dulu dapat anak pertama belum ada pengalaman dan banyak perkara perlu dipelajari, tetapi kini menjaga anak kedua itu bukan persoalan utama sebaliknya, kesihatan yang perlu diutamakan agar dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai bapa dengan baik,

“Bayangkanlah sudah 16 tahun tidak ada budak kecil dalam keluarga, tetapi kini tiba-tiba sudah ada balik. Umur saya pula sudah meningkat sedangkan menjaga bayi ini memerlukan kita sentiasa sihat dan ada stamina kerana banyak perkara yang perlu ditumpukan. Selain itu, saya juga perlu kurangkan waktu sosial di luar sebab di rumah kini ada anak kecil yang perlu diberikan perhatian dan belaian kasih sayang,” katanya.

Meor Shaharudin berkata kehadiran Fatin Danisha memang penuh bererti dan menceriakan lagi keluarga lebih-lebih lagi dirinya mengharapkan mempunyai sekurang-kurangnya tiga atau empat anak sebagai penyambung zuriat.

Mengimbas ketika mendapat khabar berita akan menimang cahaya mata lagi, beliau berkata agak terkejut malah bercampur perasaan risau apabila memikirkan risiko yang dihadapi isterinya. Hanya selepas mendengar nasihat dan penjelasan doktor barulah perasaannya kembali tenang.

“Jika disuruh buat pilihan, apa-apa pun saya akan ikut nasihat doktor. Memanglah hendakkan anak lagi, tetapi jika ada risiko kita haruslah rasional,” katanya.

Meor Shaharudin berkata, menyedari usia yang semakin meningkat strategi perancangan masa depan anak bongsunya terutama dari segi pendidikan, sudah pun diatur dari awal lagi.

Beliau sedar, apabila anak bongsunya meningkat dewasa kelak dirinya bukan saja sudah bersara dari dunia pekerjaan, tetapi semakin meningkat usia. Justeru, perancangan perlu diatur supaya masa depan anaknya itu lebih terjamin.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s