salindah dalam edaran

salindah & examo memang berkesan

Gejala buang bayi, petanda masyarakat makin sakit April 3, 2008

Filed under: kejam — edaransalindah @ 10:15 am

Kejadian membuang bayi bukan merupakan satu perkara yang baru. Gejala tersebut telah dikesan lama dahulu dan pernah menjadi heboh beberapa tahun yang lalu. Kini gejala buang bayi diperkatakan semula berikutan semakin ramai bayi yang ditemui sama ada dalam keadaan hidup atau mati di merata tempat.

Kalau sebelum ini, kita dikejutkan dengan penemuan bayi di dalam tong sampah, longkang, pintu pagar masjid, bawah pokok, kaki lima, tandas dan depan rumah orang. Tetapi kini cara membuang bayi jauh lebih ekstrem dan tidak masuk dek akal.

Dalam kejadian yang terbaru, seorang bayi telah ditemui mati selepas dibuang daripada atas sebuah flat. Seorang bayi lagi ditinggalkan dalam beg plastik yang diikat rapat. Lebih menyayatkan hati lagi apabila seorang pelajar melahirkan anak di sekolah dan memasukkan bayi yang baru lahir itu ke dalam beg sekolahnya.

Bayi-bayi itu yang dibuang dan sesetengahnya dibiarkan mati hasil daripada keterlanjuran yang dilakukan oleh ibu mereka yang kebanyakannya masih muda remaja. Bayi yang dilahirkan itu hasil daripada perhubungan seks yang dilakukan secara haram dan pergaulan bebas yang sudah menjadi trend bagi masyarakat kita.

Gejala buang adalah bukti yang paling nyata bahawa masyarakat kita sedang dilanda oleh masalah keruntuhan moral yang serius. Kebejatan sosial yang sedang berlaku itu menandakan bahawa masyarakat kita sedang sakit.

Sekaligus menunjukkan betapa proses pembangunan yang dilaksanakan dalam negara kita berada pada kedudukan yang tidak seimbang. Terdapat sesuatu yang tidak kena pada program pembangunan sosial negara. Begitu juga dengan sistem pendidikan yang telah gagal membendung pelbagai gejala dan kegiatan tidak sihat di kalangan pelajar-pelajar sekolah.

Hasil kajian seorang pensyarah di UKM yang mendapati hampir kesemua responden pelajar perempuan yang dikajinya di sekolah menengah di negeri Selangor pernah melakukan hubungan seks adalah asas yang paling kuat untuk menunjukkan kepincangan yang berlaku pada sistem pendidikan dan pembangunan sosial negara.

Ini belum lagi termasuk gejala-gejala lain seperti penyebaran ajaran Black Metal, Gothic, Punk, budaya Money Boy, Bohsia, Mat Rempit, Budak Makan Sampah, Grrr� dan sebagainya.

Sesungguhnya apa yang sedang berlaku kepada golongan remaja dan pelajar sekolah seharusnya memberikan kesedaran kepada para pimpinan negara kita untuk memberikan perhatian yang serius bagi menangani permasalahan yang sedang berlaku itu.

Berdasarkan kepada statistik yang dikemukakan oleh pihak berkuasa didapati bahawa gejala pembuangan bayi telah mencatatkan peningkatan berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Pada tahun 2006, sebanyak 83 kes telah dicatatkan di seluruh negara berbanding 65 kes pada 2000. Sepanjang tempoh 2000 hingga 2006, sejumlah 580 pembuangan bayi telah dicatatkan dengan 48 daripadanya masih merupakan janin. Apa yang lebih membimbangkan lagi ialah pembuangan bayi turut menular di institusi pengajian tinggi (IPT).

Walaupun berpendidikan tinggi tetapi demi untuk menutup malu dan melindungi perbuatan songsang mereka sanggup membuang dan membunuh anaknya sendiri. Ini membuktikan bahawa manusia tidak kira apa peringkat dan kedudukan boleh melakukan perkara yang di luar dugaan bila mereka berada pada keadaan yang tertekan.

Mereka sanggup menjadi pembunuh dan pendera apabila tidak menemui jalan keluar terhadap masalah yang dihadapinya.

Untuk menangani masalah pembuangan bayi, kerajaan tidak mempunyai pilihan lain kecuali memperkukuhkan institusi keluarga sebagai elemen penting dalam proses pembangunan sosial. Bagi mencapai tujuan itu, pendidikan agama harus diberikan keutamaan dengan memberikan galakkan dan sokongan untuk menghidupkan sekolah agama rakyat.

Tidak gunanya kita mempromosikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam kalau pegangan agama dan akidah umat Islam berada di ambang kehancuran. Akidah merupakan asas kekuatan kepada umat Islam. Jadi, usaha-usaha perlu dirangka untuk memantapkan akidah orang�orang Islam melalui pelbagai program yang bercorak keagamaan bukannya hiburan yang telah mendominasi kehidupan rakyat negara ini.

Bagi memenuhi hasrat tersebut, masjid, surau, madrasah dan institusi keagamaan yang lain perlu dihidupkan semula. Membiarkan masjid dan surau sepi tanpa sebarang program yang berbentuk keilmuan dan bercorak kemasyarakatan hanya akan menyebabkan golongan remaja berpaling kepada pusat-pusat hiburan untuk memenuhi keperluan jiwa serta rohani mereka yang kosong.

Golongan remaja dan pelajar tidak seharusnya dikorbankan demi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju mengikut acuan barat. Kemajuan tidak seharusnya diukur berdasarkan kepesatan pembangunan, berapa banyak bangunan tinggi telah dibina, pembukaan kawasan perumahan yang baru dan bilangan graduan yang berjaya dikeluarkan oleh IPT.

Ukuran kepada kemajuan perlu berdasarkan kepada indikator etika dan nilai ketamadunanan yang telah dicapai oleh rakyat sesebuah negara seperti peningkatan taraf sosial yang meliputi aspek-aspek yang berkaitan dengan moral, peratusan celik ilmu yang tinggi dan gaya hidup yang sihat serta seimbang di antara jasamani serta rohani.

Pembangunan yang tidak mengambil kira aspek-aspek ini pada hakikatnya tidak boleh dianggap sebagai kemajuan tetapi adalah satu kemunduran yang menyebabkan masyarakat hidup dalam keadaan yang tertekan dengan pelbagai kenaikan kos hidup yang tidak terkawal.

Sama ada disedari atau pun tidak gejala buang bayi mempunyai hubungan yang rapat dengan penyakit yang sedang dihidapi oleh masyarakat kita. Penyakit-penyakit sosial ini ini ada kaitan pula dengan dasar yang dilaksanakan dalam sebuah negara.

Kalau sekali pun dasar itu baik tetapi perlaksanaannya bermasalah dan penuh dengan penyelewengan, penyalahgunaan, kepincangan, rasuah serta beraneka kebobrokan yang lain maka dasar yang yang cantik akhirnya akan meninggalkan kesan yang hodoh sekali. Dan kesan-kesan negatif itu telah menjelma dalam kehidupan kita dalam berbagai-bagai kebejatan sosial yang begitu hodoh dan buruk sifatnya.

Salah satunya ialah gejala buang bayi yang menunjukkan bahawa masyarakat kita kian hilang peri kemanusiaan dan nilai ketamadunannya sehingga mereka tidak lagi merasa sedih dengan apa sedang melanda itu.

Sebaliknya gejala buang bayi dilihat sebagai suatu fenomena yang biasa dan harga yang perlu dibayar untuk mencapai taraf negara maju serta masyarakat yang up to date. Orientasi pemikiran sebegini perlu diperbetulkan. Yang boleh membetulkannya ialah pihak yang diberikan kuasa dan mandat untuk mengendalikan hala tuju serta perjalanan negara ini.

Pilihan dibuat oleh masyarakat dan kita sebagai anggota masyarakat harus merasa bertanggungjawab terhadap apa yang sedang terjadi dewasa ini.

Sumber:
Harakahdaily
Gejala buang bayi, petanda masyarakat makin sakit
Ann Wan Seng

 

Mayat bayi dalam plastik

Filed under: kejam — edaransalindah @ 10:08 am

ne_121.jpg
SEORANG anggota polis memeriksa mayat bayi yang ditemui dalam beg plastik di Wangsa Maju semalam.

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang suri rumah yang berpatah balik selepas mencurigai kandungan sebuah beg plastik jenama terkenal berwarna hitam dan oren membongkar rahsia mayat bayi dibuang.

Semasa kejadian, Salekho Ishak, 50, baru sahaja selesai berjoging di sekitar kawasan perumahan Seksyen 10 di Wangsa Maju di sini bersama dua lagi rakannya.

Bagaimanapun, ketika melintasi kawasan medan selera di kawasan tersebut pukul 8 pagi, dia yang ketika itu sedang berjalan sambil berbual kosong dengan dua rakannya terpandang satu beg plastik.

Mulanya, Salekho dan dua rakannya tidak mengendahkan bungkusan yang terbiar di tepi jalan berdekatan longkang dan terus berjalan menuju ke rumah masing-masing.

“Bagaimanapun, selepas kira-kira 200 meter berjalan, hati mak cik tiba-tiba terasa isi kandungan bungkusan tersebut merupakan bayi yang dibuang menyebabkan mak cik mengajak dua rakan berpatah balik,” katanya yang berjoging setiap hari di situ.

Menurutnya, dia mula berdebar apabila melihat kesan darah pada pemegang plastik tersebut dan apabila diselak dengan ranting, dia terkejut kerana sangkaannya benar.

Bayi lelaki yang dilihat Salekho masih bertali pusat.

Salekho memberitahu, bayi itu semasa ditemui telah meninggal dunia dan daripada pengamatannya, bayi itu telah dibersihkan dan turut dibalut dengan sehelai baju T putih dan dialas pula dengan sehelai lagi baju T lain.

“Mak cik terus menjerit dan menyebabkan beberapa pelanggan yang sedang menjamu selera di medan selera berdekatan bergegas datang sebelum mereka memaklumkan kejadian itu kepada polis,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, mayat bayi seberat 3.4 kilogram itu dipercayai dilahirkan kurang daripada 24 jam lalu berdasarkan kepada keadaannya.

“Kita masih menyiasat sama ada suspek telah melahirkan anaknya di sekitar kawasan itu,” katanya.

Dalam kes berasingan, satu lagi mayat bayi ditemui di tepi sungai berdekatan Kelab Darul Ehsan (KDE) Ampang Jaya di sini pukul 3 petang semalam.

Bayi lelaki yang cukup sifat dan masih bertali pusat itu ditemui oleh seorang wanita yang sedang berjalan kaki selepas pulang dari kelab tersebut.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Jalil Hassan berkata, punggung bayi yang tidak dibaluti apa-apa itu mengalami kecederaan dipercayai berpunca akibat dihanyut arus deras ketika hujan lebat.

“Wanita itu terus menghubungi polis selepas melihat mayat bayi tersebut dan kita dapat mengeluarkannya dengan bantuan bomba,” katanya.

Sabtu lalu, seorang pengemis terkejut apabila terjumpa mayat bayi lelaki dalam tong sampah di Jalan Raja Laut berhampiran kompleks membeli-belah Sogo.

Semasa ditemui, pengemis itu sedang menyelongkar tong sampah itu bagi mencari makanan.

Sumber:
KOSMO, 03/04/2008

 

Lebih serius tangani buang bayi

Filed under: kejam — edaransalindah @ 10:06 am

KES buang bayi perlu diangkat menjadi isu besar yang membawa kepada hukuman setimpal kepada pesalahnya. Tidak ada kalam yang sesuai untuk kita gambarkan kekejaman yang dilakukan itu.

Ia layak disamakan dengan kes bunuh yang lain. Maka, pesalah yang terbukti terlibat perlu dibawa ke tali gantung. Ini adalah pendapat yang memerlukan perincian mendalam ke arah memberi kesedaran kepada masyarakat.

Saya bersetuju dengan pendapat Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan agar bapa kepada bayi malang itu juga wajib diseret ke muka pengadilan dan menerima hukuman yang sama. Hukuman maksimum 20 tahun penjara tidak memberi kesan kepada ‘pembunuh bayi’ ini. Hukuman itu wajar dikaji tetapi biarlah ia amat setimpal dengan tahap perlakuan jenayah itu.

Bayi yang dilahirkan sempurna sifatnya layak diiktiraf sebagai manusia normal yang mendapat perlindungan undang-undang seperti manusia lain. Cuma seorang bayi tidak mempunyai sebarang kekuatan untuk mempertahankan dirinya baik dalam bentuk tenaga ataupun tutur kata. Membuang bayi yang selamat dilahirkan dalam keadaan normal adalah satu perbuatan membunuh manusia.

Membunuh

Kalau kesalahan membunuh berakhir di tali gantung, tidak ada bezanya dengan kesalahan membuang bayi yang membawa kepada kematian kepada bayi itu.

Hukuman penjara boleh dipraktikkan jika bayi ditemui dalam keadaan masih bernyawa. Tetapi cadangan untuk mengheret kedua-dua manusia kejam ke muka pengadilan amat tepat. Punca kepada perlakuan buang bayi bukannya bermula di pihak wanita sahaja tetapi jelas punca angkara tidak berperikemanusiaan itu datang daripada kedua-dua bapa dan ibu.

Dalam hal ini, peranan Datuk Seri Shahrizat Jalil sebagai menteri di kementerian yang dianggap memperjuangkan martabat wanita diperlukan. Kajian perlu disegerakan akan pesalah buang bayi dihukum seperti seorang pembunuh.

Masyarakat harus melihat gejala buang bayi ini sebagai isu sejagat yang amat terkutuk di bumi Allah s.w.t ini.

Perlakuan maksiat harus diangkat menjadi agenda utama yang segera untuk ditangani. Jabatan Agama Islam Negeri dengan kerjasama seluruh penguat kuasa undang-undang negara perlu meningkatkan keazaman untuk membanteras gejala tidak bermoral itu.

Kes yang dilaporkan di akhbar Utusan Malaysia pada Selasa lalu adalah salah satu kes yang dapat dikesan oleh masyarakat. Tetapi dalam masa yang sama ada banyak lagi kes bayi malang yang ‘dibunuh’ dan dilenyapkan terus dari bumi ini.

Kita bersetuju agar semua pihak bertanggungjawab dan mengambil bahagian menangani masalah ini.

Usaha membanteras gejala sosial pula seakan lebih berkesan jika ia diketuai oleh pihak pendukung undang-undang sendiri. Ahli masyarakat boleh dilibatkan dengan cara menjana idea dan saranan tentang bagaimana kaedah untuk memudahkan pihak berkuasa untuk bertindak.

Jika respons sudah diberikan oleh pihak polis dalam kes buang bayi ini, pihak-pihak lain hanya perlu meneruskan sokongan untuk melihat satu cara penyelesaian yang lebih pantas.

Sumber:
Utusan Malaysia

 

Anak dua fasa

Filed under: cahayamata — edaransalindah @ 3:08 am

Dikurniakan zuriat pada usia 20-an dan 40-an

mainpix.jpg
Yong Hanizam bersama suami dan dua anak, Danisha dan Damia.

MENIMANG cahaya mata pada usia awal 20-an dan kemudian ketika menginjak 40-an bukan saja memberikan dua pengalaman yang berbeza, tetapi turut mempunyai cerita tersendiri serta beberapa perkara menarik dilalui.

Catatan kehidupan itulah dialami pasangan suami isteri, Meor Shaharudin Meor Adnan dan Yong Hanizam Mohd Rosun apabila dikurniakan dua cahaya mata pada peringkat dua fasa usia berbeza dan lahir pada jarak terlalu jauh.

Anak sulung, Fatin Damia di lahirkan ketika Meor Shaharudin dan Yong Hanizam berusia 20-an dan kini sudah pun meningkat dewasa, 17, manakala anak bongsu mereka; Fatin Danisha pula baru saja berusia enam bulan serta disambut kelahirannya ketika pasangan berkenaan sudah pun mencecah 40-an.

Biarpun melewati usia 40-an bagi Yong Hanizam, tidak perlu malu sebaliknya menganggap itulah kebesaran Allah dan sentiasa menganggap anak adalah rezeki serta amanah yang diberikan-Nya. Justeru, sebagai ibu bapa setiap kelahiran anak dalam keluarga sudah semesti disambut dengan penuh kesyukuran.

Bagaimanapun, Yong Hanizam mengakui, bergelar ibu pada kali pertama dan menyambut kelahiran bayi ketika berusia 20-an dan 40-an sedikit sebanyak ada perbezaan, sama ada dari segi menyediakan persiapan dan kelengkapan, pengetahuan menjaga bayi, keadaan kesihatan serta emosi.

“Sebagai wanita dan ibu, tentu saya berasa gembira apabila disahkan pertama kali mengandung. Apatah lagi, ketika itu saya dan suami masih muda dan memang sudah lama menunggu. Maklum, selepas tiga tahun berkahwin belum ada lagi tanda-tanda kami bakal menerima cahaya mata walaupun pelbagai usaha dicuba, termasuklah cara tradisional mengambil ubat dan berurut.

“Begitu jugalah apabila disahkan mengandung ketika sudah berusia 42 tahun. Perasaan gembira tetap ada. Lagipun, sebelum ini kami tidak pernah merancang mengenai jarak kehamilan dan memang teringin untuk mendapat anak lagi. Tetapi tidak sangka pula kali ini saya hamil ketika sudah memasuki usia itu. Jadi, selain berasa gembira perasaan terkejut pun ada,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Puchong Intan, baru-baru ini.

Yong Hanizam berkata, kehadiran Fatin Danisha menyebabkan segala-galanya perlu bermula dari awal semula, malah dirasakan bagaikan ibu baru dan pertama kali menyambut kelahiran anak sulung. Ini termasuklah, menyediakan persiapan dan kelengkapan bagi menyambut kelahiran bayi serta terpaksa menyesuaikan diri dengan rutin tidur yang terganggu kerana terjaga atau perlu bangun lewat pagi, sama ada untuk membuat susu mahupun melayan bayi menangis minta ditukarkan lampin.

“Selalunya apabila menyambut anak kedua, kurang sedikit beli barang bayi, tetapi bagi kami boleh dikatakan, semua barang perlu dibeli yang baru. Selepas berbelas tahun tidak ada anak kecil tentulah kami tidak simpan semua barang itu.

“Itulah untungnya Fatin Danisha, sebagai adik dia tidak memakai sisa barang kakaknya seperti mana lazimnya, hubungan adik beradik lain. Bagaimanapun, kebanyakan keperluan dan kelengkapan barangan bayi dibeli selepas Fatin Danisha dilahirkan berbanding ketika menyambut anak sulung awal-awal lagi semua barang sudah disiapkan,” katanya.

Yong Hanizam berkata, sebelum kehadiran Fatin Danisha, dirinya pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali. Keguguran pertama berlaku selepas empat tahun melahirkan Fatin Damia, manakala yang kedua lebih kurang setahun sebelum kelahiran Fatin Danisha. Desakan hati untuk mendapat anak kedua menyebabkan dirinya berikhtiar membuat rawatan kesuburan.

Sehinggalah usianya mencapai 35 tahun barulah berhenti berbuat demikian kerana menyedari faktor usia yang semakin meningkat akan mengundang risiko ketika hamil mahupun bersalin, bukan saja pada kesihatan dirinya, tetapi juga bayi yang dikandung.

“Walaupun ada pengalaman melahirkan anak dan keguguran, saya tidak tahu pun yang diri saya mengandung. Memang saya sedar kedatangan haid sudah lewat dua bulan, tetapi tidak sangka pula ada ‘isi’.

“Selain itu, pada awal kehamilan anak bongsu saya tiada mengalami tanda-tanda pembawaan budak seperti muntah dan sebagainya. Berbanding mengandungkan anak sulung dulu, saya bukan saja mengalami muntah dan loya, bau asap rokok pun langsung tidak tahan. Jadi mana nak perasan hamil,” katanya.

Yong Hanizam berkata, seiring dengan usia yang sudah meningkat, pemeriksaan ketika kehamilan anak bongsu dibuat lebih teliti. Alhamdulillah, sepanjang mengandungkan Fatin Danisha beliau langsung tidak mempunyai masalah kesihatan.

Pun begitu, pada peringkat awal kehamilan beliau mengalami pendarahan sehingga terpaksa beberapa kali dikejarkan ke rawatan kecemasan. Pengalaman keguguran dua kali sedikit sebanyak merisaukannya dan jika boleh beliau tidak mahu menempuhi lagi rasa kecewa.

“Jika anak sulung dilahirkan secara normal, anak bongsu saya pula dilahirkan melalui pembedahan kerana hasil pemeriksaan didapati, kedudukan bayi dikesan melintang. Apa pun, kami sekeluarga bersyukur, apabila semuanya berjalan lancar. Namun, pertama kali memegang Fatin Danisha saya begitu kekok sekali seolah-olah itulah bayi pertama saya.

“Sudah lama tidak jaga bayi, mula-mula sukar juga tetapi nasib baiklah anak sulung kami banyak membantu. Dulu, masa menyambut anak sulung emak yang banyak bantu. Apabila ada masalah saja rujuk pada orang tua. Kini sudah masuk anak kedua dan usia pun melebihi 40 tahun, takkan nak harapkan ibu. Nasib baiklah saya dan suami gilir-gilir jaga malam, jika tidak susah juga sebab saya pun bekerja.

“Dalam hal ini, kami sebenarnya sudah pun bersedia berdepan dengan tanggungjawab yang semakin bertambah dan segala perubahan dalam keluarga yang akan dialami kerana sebelum Fatin Danisha dilahirkan perkara ini sudah pun kami bincang sama-sama,” katanya.

Timang cahaya mata pada usia lewat satu kelebihan

“APA yang kau makan ye?” Itulah pertanyaan dan gurauan rakan, Meor Shaharudin Meor Adnan apabila mendapat tahu dia menimang cahaya mata yang kedua pada usia mencecah 40-an. Namun, semua gurauan itu tidak pernah menyinggung perasaannya.

Meor Shaharudin mengakui, di tempat kerja tiada rakan seusia yang menimang lagi anak kecil sepertinya sebaliknya, pada peringkat itu masing-masing sibuk membesarkan anak remaja.

Baginya, itulah kebanggaan dan kelebihan dimiliki kerana melangkah fasa 40-an, dirinya bukan saja memiliki anak remaja yang memerlukan lebih perhatian, tetapi juga seorang lagi anak, masih pada peringkat bayi serta memerlukan penjagaan baik di samping belaian manjanya.

Sebagai bapa dan ketua keluarga, itulah cabaran dan tanggungjawab baru yang harus dihadapi. Menjaga anak yang masih kecil ketika usia semakin menginjak katanya, bukanlah mudah tambahan dengan tenaga fizikal dimiliki tidak lagi segagah pada usia 20-an.

Katanya, jika dulu dapat anak pertama belum ada pengalaman dan banyak perkara perlu dipelajari, tetapi kini menjaga anak kedua itu bukan persoalan utama sebaliknya, kesihatan yang perlu diutamakan agar dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai bapa dengan baik,

“Bayangkanlah sudah 16 tahun tidak ada budak kecil dalam keluarga, tetapi kini tiba-tiba sudah ada balik. Umur saya pula sudah meningkat sedangkan menjaga bayi ini memerlukan kita sentiasa sihat dan ada stamina kerana banyak perkara yang perlu ditumpukan. Selain itu, saya juga perlu kurangkan waktu sosial di luar sebab di rumah kini ada anak kecil yang perlu diberikan perhatian dan belaian kasih sayang,” katanya.

Meor Shaharudin berkata kehadiran Fatin Danisha memang penuh bererti dan menceriakan lagi keluarga lebih-lebih lagi dirinya mengharapkan mempunyai sekurang-kurangnya tiga atau empat anak sebagai penyambung zuriat.

Mengimbas ketika mendapat khabar berita akan menimang cahaya mata lagi, beliau berkata agak terkejut malah bercampur perasaan risau apabila memikirkan risiko yang dihadapi isterinya. Hanya selepas mendengar nasihat dan penjelasan doktor barulah perasaannya kembali tenang.

“Jika disuruh buat pilihan, apa-apa pun saya akan ikut nasihat doktor. Memanglah hendakkan anak lagi, tetapi jika ada risiko kita haruslah rasional,” katanya.

Meor Shaharudin berkata, menyedari usia yang semakin meningkat strategi perancangan masa depan anak bongsunya terutama dari segi pendidikan, sudah pun diatur dari awal lagi.

Beliau sedar, apabila anak bongsunya meningkat dewasa kelak dirinya bukan saja sudah bersara dari dunia pekerjaan, tetapi semakin meningkat usia. Justeru, perancangan perlu diatur supaya masa depan anaknya itu lebih terjamin.

 

Pasangan Britain hadapi krisis subur

Filed under: kesuburan — edaransalindah @ 3:04 am

 firstivf.jpg

BAYI tabung uji lelaki dan perempuan pertama dunia dari Britain, Louise Brown (kiri) dan Alistair MacDonald.
Semakin ramai mendapatkan anak menerusi IVF yang mungkin menyebabkan gen tidak subur diwarisi zuriat mereka

BRITAIN kini berdepan krisis kesuburan akibat keghairahan pasangan “separa-subur” mendapatkan anak menerusi teknologi IVF (rawatan kesuburan in vitro).

Pakar memberi amaran, pasangan ini mungkin mendapat anak menerusi kaedah berkenaan tetapi zuriat mereka itu tetap tidak subur kerana membawa gen ibu-bapa mereka. Perkembangan itu, menurut pakar, mengembangkan lagi golongan yang membawa gen tidak subur dalam populasi negara.

Masalah ini dijangka semakin meruncing pada masa depan berikutan di sesetengah negara kaya sekarang, lebih satu daripada setiap 20 bayi yang dilahirkan adalah hasil persenyawaan dalam makmal.

Dua profesor yang menulis dalam Jurnal Perubatan Britain, berkata selain daripada impak IVF, pencemaran alam sekitar dengan bahan kimia pelentur-jantina juga menyumbang kepada peningkatan masalah kesuburan di Barat.

Profesor Jens Bonde, dari Aarhus University Hospital di Denmark, dan Profesor Jorn Olsen dari University of California berkata bilangan sperma – dan kadar kelahiran – kini semakin menurun di negara maju.

Masalah ketidaksuburan kini menjejaskan kira-kira 15 peratus pasangan.

Separa-kesuburan adalah istilah yang diberi kepada pasangan dengan tahap kesuburan lebih rendah daripada biasa tetapi masih boleh mendapatkan zuriat secara semula jadi.

Pasangan tidak subur, bagaimanapun, tidak boleh mendapatkan anak tanpa bantuan perubatan.

Penyelidik berkenaan yang menulis dalam ruangan pengarang majalah itu berkata: “Masih tidak jelas sama ada sedekad lalu memperlihatkan perubahan ketara dalam kesuburan pasangan secara umum atau kesuburan lelaki secara khusus.”

Faktor sosial seperti wanita memilih untuk lewat mendapatkan anak kerana kerjaya dan keinginan memiliki keluarga kecil dianggap faktor penyumbang yang penting tetapi faktor lain seperti perubahan biologi secara halus di kalangan masyarakat perlu juga diteliti.

Secara khususnya, IVF dan teknik lain membawa makna lebih ramai pasangan separa-subur yang gagal memperoleh zuriat satu generasi lalu, kini berpeluang mempunyai anak.

Kemajuan teknologi juga membolehkan lelaki yang memiliki jumlah sperma yang rendah atau sperma tidak berkualiti dirawat.

Berikutan kemajuan ini, wanita yang mempunyai kesuburan biasa tetapi pasangan lelaki yang mengalami masalah sperma – juga mempunyai peluang menimang anak.

Namun hasil kejayaan IVF ini, juga memperkembangkan gen cacat pasangan lelaki itu yang akan dibawa oleh anak mereka dan zuriat seterusnya.

Profesor terbabit juga menggesa lebih banyak penyelidikan dijalankan terhadap isu ketidaksuburan lain yang terabai seperti teori bahawa bahan kimia yang dijumpai di persekitaran boleh mengubah hormon.

Pendedahan tahap tinggi terhadap kimia berkenaan sudah dikaitkan dengan ketidaknormalan kepada sistem reproduktif dan penurunan jumlah populasi di dalam beberapa spesies burung, ikan, reptilia dan amfibia.

Dibimbangi jika wanita mengandung terdedah kepada bahan kimia itu, ia akan memberi kesan terhadap keupayaan anak lelaki mereka menghasilkan sperma kerana keupayaan lelaki menghasilkan sperma dikenal pasti ditentukan ketika masih berada dalam rahim lagi.

Lebih 32,000 wanita menerima rawatan kesuburan di United Kingdom pada 2005, tahun terakhir angka itu diperoleh.

Dianggarkan kira-kira 30 peratus lelaki yang mempunyai pasangan, mendapatkan rawatan kerana didapati separa-subur dan dua peratus lagi tidak subur sepenuhnya.

Dr Richard Kennedy dari Persatuan Kesuburan Britain berkata, terdapat “perselisihan pendapat” berhubung isu sama ada masalah kesuburan genetik semakin meningkat.

Beliau berkata: “Terdapat bukti kukuh bahawa ketidaksuburan teruk di kalangan lelaki berpunca daripada masalah genetik tetapi ia kini boleh dirawat, iaitu satu perkara yang bagus untuk lelaki berkenaan.

“Namun masih tidak jelas sama ada ketidaksuburan di kalangan wanita juga adalah berpunca daripada masalah genetik. Dalam lain perkataan, apakah anak mereka juga akan mewarisi masalah ibu mereka ini?

“Di mana sesuai, mereka yang mendapatkan rawatan ketidaksuburan sudah dinasihatkan mengenai risiko bahawa anak mereka mungkin mempunyai masalah sama.

Susan Seenan, daripada Rangkaian Ketidaksuburan UK berkata; “Ketidaksuburan adalah penyakit yang amat menyedihkan.

“Sebarang kajian yang membantu untuk memastikan pasangan tidak berdepan masalah kesukaran hamil hendaklah diberi galakan sepenuhnya.” – Agensi

FAKTA
IVF

# Persenyawaan luar rahim membabitkan prosedur telur dan sperma disatukan dalam makmal sebelum dipindah menerusi pangkal rahim wanita.

# Dianggarkan 6,000 bayi dilahirkan setiap tahun di Britain menerusi IVF.

# Membabitkan beberapa teknik tetapi proses utamanya membabitkan wanita mengambil ubat-ubatan kesuburan untuk penghasilan lebih banyak telur.

# Masalah kesuburan di Britain membabitkan hampir 15 peratus pasangan.

# Penggunaan ubat-ubatan dikaitkan dengan risiko barah ovari.

# Di Britain, kos IVF di hospital swasta bermula dari kira-kira RM13,000.

 

Wanita diabetes perlu penjagaan ketika hamil

Filed under: kehamilan — edaransalindah @ 3:00 am
Tags:

KEHIDUPAN wanita yang menghidapi kencing manis berbeza daripada lelaki. Misalnya, wanita menghadapi isu fizikal seperti tulang yang lemah (osteoporosis), kehamilan, haid dan putus haid. Bagaimanapun, dengan penjagaan diri sendiri diikuti maklumat yang betul serta perancangan rapi untuk menangani kencing manis, akan membantu mereka menjalani kehidupan dengan selesa.

Wanita mengandung dengan kencing manis

Pada masa kini, ada banyak maklumat mengenai pengurusan kencing manis dan kandungan gula dalam darah.

Oleh itu, ramai wanita menghadapi kencing manis dapat mengandung dengan selamat dan melahirkan bayi yang sihat. Anda juga boleh menghubungi pegawai perubatan/kesihatan anda lebih awal dalam perancangan kehamilan.

Wanita yang menghidap kencing manis mempunyai risiko yang tinggi serta komplikasi ketika mengandung. Menurut Persatuan Diabetes Amerika (ADA), mereka lebih cenderung menghidapi penyakit toxemia atau preeclampsia. Saiz bayi mereka juga lebih besar kerana kandungan gula dalam darah yang berlebihan akan mengalir ke janin (fetus) dan disimpan sebagai lemak.

Oleh itu, mereka terpaksa melahirkan anak melalui pembedahan (cesarean). Kadar kelahiran secara cesarean oleh wanita dengan kencing manis adalah empat kali ganda lebih tinggi daripada populasi umum.

Jika anda merancang untuk hamil, anda perlu berwaspada terhadap perkara seperti:

  • Merancang masa kehamilan dengan teliti. Pada awal proses kehamilan adalah tempoh yang sangat kritikal untuk pertumbuhan bayi anda. Anda perlu memastikan bahawa bayi anda tidak mempunyai kandungan gula yang berlebihan. Doktor anda akan membantu anda merancang masa yang sesuai untuk anda mengandung – iaitu apabila kandungan gula dalam darah anda stabil selama tiga hingga enam bulan, tiada sebarang masalah mata dan apabila anda mempunyai masa untuk mengambil vitamin prenatal.
  • Memilih pegawai perubatan/kesihatan yang memahami penyakit kencing manis. Doktor pakar sakit puan yang berpengalaman dalam kes kehamilan berisiko tinggi dan kes wanita yang mengalami penyakit kencing manis boleh memberi tunjuk ajar dalam penjagaan kesihatan ketika proses kehamilan, penjagaan bayi dalam kandungan dan ketika kelahiran bayi anda. Doktor pakar kanak-kanak yang dipilih perlu mempunyai pengalaman dalam penjagaan kanak-kanak yang mana ibu mereka menghidapi penyakit kencing manis.
  • Berbincang dengan doktor mengenai pengambilan ubat anda. Jika anda bergantung kepada ubat untuk mengawal kencing manis, doktor mungkin akan menukarkannya kepada insulin sebelum anda merancang untuk mengandung.
  • Mengubah suai diet, tahap aktiviti dan dos insulin. Sepanjang tempoh kehamilan, anda mungkin perlu mengikuti perubahan keadaan badan anda. Umpamanya, anda perlu meningkatkan kalori anda apabila berada dalam trimester kedua kerana ini akan membantu ketika pertumbuhan bayi. Anda perlu berbincang dengan doktor pakar sakit puan, doktor utama dan doktor pakar pemakanan, untuk mengikuti perkembangan kesihatan anda dari semasa ke semasa.
  • Jika merancang untuk hamil, ia perlu bermula dari sekarang. Anda perlu menjaga kesihatan dengan teliti dalam mengawal tahap kandungan gula dalam darah.

Menghidapi kencing manis ketika tempoh kehamilan (gestational diabetes)

Bagi wanita yang tiada kencing manis sebelum hamil, doktor akan mencadangkan ujian kencing manis pada tempoh antara minggu ke-24 hingga minggu ke-28.

Mengapa? Menurut Persatuan Diabetis Amerika (ADA), lebih kurang 3 peratus populasi umum akan menghidapi sejenis penyakit kencing manis yang akan dialami ketika kehamilan dan penyakit itu akan hilang selepas bayi dilahirkan.

Ia adalah sejenis penyakit kencing manis yang dinamakan ‘gestational diabetes’, yang tidak akan menjejaskan kehamilan anda seperti yang dialami pesakit kencing manis biasa. Ini adalah kerana penyakit ini timbul selepas tempoh minggu awal permulaan yang kritikal untuk pertumbuhan bayi – risiko kecacatan kelahiran yang disebabkan oleh kandungan gula dalam darah tinggi pun sudah lepas.

Jika anda menghidapi penyakit kencing manis gestational, perkara berikut perlu diberi perhatian:

  • Pastikan kandungan gula dalam darah anda adalah dalam tahap yang memuaskan;
  • Oleh kerana badan anda mengalami perubahan setiap masa ketika mengandung, doktor anda akan menjalankan ujian kencing manis lebih kerap bagi memastikan perancangan terapi anda berjalan dengan baik dan mengambil sebarang tindakan sekiranya perlu.

Pada umumnya, selepas bayi dilahirkan, kencing manis gestational ini akan hilang. Bagaimanapun, sesetengah wanita boleh menghidapi penyakit ini pada kehamilan yang berikutnya.

Pihak ADA juga memberi amaran bahawa wanita yang gemuk (obese) sebelum mereka mengandung, mempunyai 40 peratus peluang menghidapi kencing manis Jenis 2 dalam tempoh empat tahun. Bagaimanapun bayi mereka biasanya sihat tetapi masih perlu menjalani ujian kencing manis Jenis 2.

Penjagaan diri sendiri

Sedikit fakta menarik untuk dikongsi bersama semua wanita:

  • Kaum wanita pada umumnya menghidapi kencing manis selepas umur 40 tahun
  • 90 peratus peratus hingga 95 peratus kaum wanita yang menghidapi kencing manis menghidapi kencing manis Jenis 2
  • Satu pertiga kaum wanita pada semua peringkat umur mempunyai berat badan melebihi normal.

Pandangan Pusat Kawalan Penyakit Amerika (CDC)

Kehidupan seharian kita dipenuhi aktiviti seperti bekerja, menghantar anak ke sekolah dan menjaga keluarga. Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa kadar kes kencing manis di kalangan wanita semakin meningkat.

Akibatnya mereka mengambil makanan secara berlebihan dan tiada masa untuk menjalankan aktiviti fizikal. Berat badan yang berlebihan akan menimbulkan komplikasi berhubungan dengan penyakit kencing manis.

Bagaimana anda mengawal kencing manis dan mengurangkan risiko komplikasi? Di bawah adalah sebahagian nasihat yang boleh anda pertimbangkan:

  • Pastikan anda meluangkan masa untuk aktiviti senaman setiap hari
  • Merancangkan diet yang sesuai untuk kesihatan dan gaya hidup anda
  • Menjaga tahap kandungan gula dalam darah dengan lebih kerap seperti yang dinasihatkan oleh kumpulan pegawai perubatan / kesihatan anda.

Selain berjumpa dengan doktor pakar sakit puan setiap tahun, anda juga perlu menjalani sendiri ujian payu dara, menjaga kesihatan jantung dan memelihara tulang yang kuat. Ini adalah sebahagian daripada cara yang anda boleh lakukan dalam menjaga kesihatan anda.

 

Ujian darah penting pada awal kehamilan

Filed under: kehamilan — edaransalindah @ 2:55 am
Tags:

Keguguran spontan, kandungan luar rahim boleh berlaku jika antigen ibu tidak sama dengan bayi

APA yang anda tahu mengenai masalah rhesus? Atau tahukah anda apa yang dirujuk sebagai rhesus? Secara ringkas, rhesus (Rh) bermaksud antigen atau secara spesifik ialah protein yang wujud pada permukaan sel darah merah.

Sekiranya rhesus darah ibu tidak sama dengan rhesus darah janin, beberapa masalah akan terjadi. Antaranya membabitkan masalah keguguran spontan, keguguran yang terpaksa dilakukan dan kandungan luar rahim (kandungan ektopik).
Bagi sesetengah wanita hamil, mereka tidak langsung tahu mengenai rhesus atau kumpulan darah. Oleh itu, apabila pergi ke klinik kerana kehamilan buat kali pertama, ibu hamil akan membuat ujian darah. Ada yang tahu dan ada yang tidak tahu kepentingan ujian ini dibuat.

Sebenarnya, darah diambil untuk memastikan kumpulan darah dan juga faktor rhesus. Seperti yang anda tahu, ada empat kategori umum darah: A, B, O, dan AB yang mana setiap jenis darah dilabelkan sebagai positif atau negatif merujuk pada faktor rhesus dalam darah.

Kumpulan dengan faktor rhesus bermaksud mereka memiliki antigen dalam darah dilabelkan sebagai RH-positif. Jadi, jika seseorang itu memiliki darah jenis A dan memiliki faktor rhesus, dia dirujuk sebagai A positif.

Kumpulan yang tidak memiliki antigen dalam darah atau kekurangan faktor rhesus dilabel sebagai Rh negatif. Bagaimanapun, kekurangan faktor Rh tidak bermaksud ia akan menjejaskan kesihatan.

Kebanyakan penduduk Malaysia mempunyai Rh positif. Di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sebagai contoh, kurang daripada satu peratus mempunyai darah Rh negatif dan kebanyakannya berbangsa Melayu.

Bila faktor Rh memberikan kemudaratan?

Faktor Rh ada kalanya menimbulkan kemudaratan kepada bayi. Masalah berlaku apabila darah ibu tidak mempunyai faktor Rh manakala darah janin mempunyai faktor Rh. Permasalahan faktor Rh ketika mengandung berlaku apabila seorang wanita yang negatif mempunyai pasangan rhesus positif.

Dalam kes ini, ada 50 peratus kemungkinan yang anak dalam kandungan itu positif. Perlu diketahui yang ibu tidak akan mendapat apa-apa reaksi daripada sensitasi (tindak balas tubuh terhadap kehadiran bendasing dalam badan) yang berlaku.

Jika janin dalam kandungan yang pertama positif, sel darahnya dapat bercampur dengan darah ibu terutama ketika bersalin. Sel ini, walaupun sedikit akan menimbulkan rangsangan dalam badan ibu dan membentuk antibodi yang memusnahkan sel darah rhesus positif bayi.

Sebagai contoh, ibu hamil tidak mempunyai faktor Rh, dilabelkan sebagai rhesus negatif, kandungannya pula Rh positif. Darah janin ini akan memasuki darah ibu dan menyebabkan sensitasi berlaku.

Ibu menghasilkan antibodi yang akan menyerang faktor Rh janin, sebagaimana antibodi melawan bendasing atau kuman yang memasuki badan. Jenis darah bapa juga perlu diketahui dan sekiranya bapa tidak mempunyai faktor Rh, janin juga tidak mempunyai faktor Rh, semuanya rhesus negatif. Bagaimanapun, jika bapa mempunyai faktor Rh, janin akan menjadi rhesus positif. Masalah sensitasi timbul sebab ibu memiliki rhesus negatif.

Anda perlu tahu, ketika mengandung ibu dan janin tidak berkongsi sistem darah. Bagaimanapun, sedikit darah daripada janin boleh menyeberangi plasenta (uri) dan memasuki sistem darah ibu. Sensitasi yang berlaku ini merangsang pembentukan antibodi terhadap faktor Rh pada sel darah anak. Ia menyerang sel merah darah anak dan kemusnahan berlaku.

Janin akan mendapat anemia (kekurangan darah), banyak penyakit susulan timbul, otak boleh musnah, kematian juga boleh berlaku sekiranya rawatan tidak diberikan.

Kandungan pertama lazimnya selamat daripada masalah ini kerana ibu tidak sempat mengeluarkan banyak antibodi yang boleh mencetuskan kemusnahan. Bagaimanapun, kandungan berikutnya akan terjejas. Semakin jumlah kandungan bertambah, semakin teruk keadaan ini berlaku.

Wanita hamil di Malaysia dianggap bernasib baik kerana sistem darah mereka akan diuji pada setiap kali mereka mengandung.

Bagaimana masalah boleh dicegah?

Lazimnya untuk saringan, darah diuji untuk jenis kumpulan darah dan juga faktor rhesus. Ujian saringan antibodi dilakukan sekiranya didapati ibu sudah pun terdedah dengan darah yang tidak mempunyai faktor Rh.

Sensitasi pada ibu dikurangkan dengan penggunaan ubat Immunoglobulin Rh (Rh IgG). Ubat ini dihasilkan daripada rawatan darah secara berkawal. Ia digunakan untuk menghalang ibu yang tidak mempunyai faktor Rh daripada disensitasikan. Dengan kata lain, ia menghalang badan ibu daripada berinteraksi dan bertindak balas. Sekiranya ibu sudah disensitasikan, penggunaan ubat ini mungkin tidak berkesan pada dos yang biasa digunakan. Ujian lanjutan seperti ‘titer’ kehadiran antibodi dan juga jumlah sebenar kehadiran darah bayi di dalam darah ibu perlu diketahui supaya jumlah Immunoglobulin yang diberikan dapat mengatasi sensitasi yang mungkin berlaku.

Ubat Rh IgG ini diberikan secara suntikan di bahu atau punggung. Ia akan diberikan ketika hamil dan selepas kehamilan.

Sekiranya ibu yang Rh negatif belum lagi disensitasikan, ubat ini boleh diberikan pada minggu ke 28 dan juga minggu 34 mengandung. Ia bertujuan untuk menghalang sensitasi yang mungkin berlaku pada sesetengah ibu pada tiga bulan terakhir kehamilan.

Lazimnya dos akan diulang sekiranya ibu masih belum melahirkan anak selepas 12 minggu daripada ubat mula disuntik. Ubat ini hanya berada di dalam sistem darah ibu untuk tempoh enam minggu saja.

Selepas kelahiran, dos perlu diberikan sekali lagi untuk mengelakkan ibu menghasilkan antibodi terhadap faktor Rh sel darah merah janin ketika mengandung dan juga ketika kelahiran. Sekiranya diperlukan, darah ibu juga diambil untuk penentuan antibodi yang sudah terhasil supaya pemberian ubat Rh IgG dapat diopitimakan mengikut rangsangan. Ubat yang diberikan ini hanya dapat mencegah komplikasi mengandung semasa, ubat perlu diulang pada setiap kandungan.

Bagaimanapun, ubat tidak diberikan sekiranya bayi tidak mempunyai faktor rhesus di sel darah merahnya.

Walaupun ibu yang memiliki rhesus negatif tidak mahu lagi mengandung pada masa hadapan atau akan melakukan langkah pencegahan kehamilan kekal seperti pengikatan kedua-dua tiub falopian, ubat Rh IgG ini masih lagi perlu diberikan kerana;

  • Pada masa hadapan mungkin wanita mengubah fikiran dan berhasrat untuk membuka kembali pengikatan yang dilakukan (pembalikan ini sukar dan memakan masa selain memerlukan pembedahan kaedah mikro).
  • Melahirkan anak secara kaedah makmal (fertilisasi in vitro – IVF).
  • Kegagalan langkah pencegahan (pengikatan kedua-dua tiub falopian), kebarangkaliannya kecil saja.

    Justeru, rawatan yang diberikan mungkin dapat mencegah pembentukan antibodi sekiranya terjadi keadaan yang memerlukan wanita melakukan pemindahan darah pada masa hadapan. Kehadiran antibodi menyebabkan ujian kesaksamaan darah menjadi sukar.

    Sebab-sebab lain mengapa ubat suntikan Rh IgG diberikan

  • Ibu yang memiliki rhesus negatif perlu diberi suntikan segera sekiranya berlaku pencampuran di antara darah janin dengan ibu. Keadaan ini boleh berlaku ketika keguguran dan juga pengguguran yang dipaksakan dan kandungan luar rahim.
  • Melakukan prosedur diagnosa pra natal seperti (external cephalic version). Suntikan ubat Rh IgG perlu supaya dapat mencegah kemungkinan ibu menghasilkan antibodi yang akan menyerang janin rhesus positif pada masa hadapan.
  • Kelahiran trauma, kelahiran secara pembedahan dan juga proses pengeluaran uri ketika kelahiran juga mendedahkan wanita pada darah janin.

    Apa akan berlaku sekiranya antibodi sudah terbentuk?

    Ibu perlu membuat ujian lanjut bagi melihat tindak balas sistem darahnya terhadap sensitasi yang sudah berlaku. Ini bagi memastikan risiko yang bakal dihadapi janin.

    Jika pembentukan antibodi itu sudah keterlaluan, janin yang kekurangan darah mungkin terpaksa dilahirkan awal atau mungkin terpaksa menerima pemindahan darah ketika masih lagi dalam kandungan.

    Jika pembentukan itu tidak keterlaluan, bayi boleh dilahirkan pada masa yang normal dan selepas kelahiran, bayi akan diuji darahnya. Mungkin pemindahan darah akan dilakukan untuk menggantikan darah bayi yang mengalami kerosakan akibat serangan daripada antibodi ibu.

    FAKTA:
    Pendedahan faktor darah anak ke dalam sistem darah ibu menyebabkan

  • Keguguran spontan
  • Keguguran yang terpaksa dilakukan
  • Kandungan luar rahim (kandungan ektopik)
  • Pendarahan ketika hamil
  •  

     
    Follow

    Get every new post delivered to your Inbox.